InsyaAllah di sini sambungan catatan misi 2 dari Padang...
Pariaman mempunyai 17 mukim dan kira-kira 320 buah kampong (Desa). Team kami hanya berkhidmat di lima buah kampung. Masjid dan surau di daerah Pariaman memang banyak , kira-kira 620 buah. Banyak masjid yang dibina mengikut suku kaum. Fahaman yang diamalkan disesuatu masjid sering berbeza. Kami sempat solat dibeberapa buah masjid dan itulah yang kami perhatikan.Keadaan dikawasan pendalam jauh lebih teruk. Kebanyakan masjid dan surau tidak terurus dan agak kotor. Ada diantaranya yang tidak memiliki tandas.
Ketika kami memberi khidmat perubatan di Desa Koto Tinggi, Pariaman, kami telah melihat masjid mereka yang runtuh.Maklumat dari jurupandu kami seorang muslimat PKS, masjid itu hanya digunakan ketika majlis-majlis seperti Maulidul Rasul, Isra’ mi’raj dan solat hariraya.Solat jemaah 5 waktu tidak ada. Anjing-anjing berkeliaran seperti ternakan lain. Penghuni pun kebanyakannya orang tua dan kanak-kanak . Sempat seorang pesakit wanita bercerita kepada saya. Dia kesempitan hidup, maklumlah isteri ke 2. Makan pun tidak cukup. Bila dia mengadu kepada suaminya. Suaminya mencadangkan agar dia menjadi seorang pelacur, jalan mudah dapat duit..
” Saya ngak sanggup Pak….walaupun rumah saya hancur, kerjapun ngak ada, saya tak sanggup lakukan itu” Kelopak matanya bergelinangan dengan airmata. Dalam hati saya tertanya juga, apa perlunya dia cerita semua ini, sedangkan tugas saya hanya untuk memberikan rawatan. Walaupun besar kemungkinan dia tidak solat ,tapi saki baki aqidah masih ada. Mental mereka benar-benar tertekan. Apa yang mampu saya katakan agar dia jangan sekali lupa pada Allah, minta dia jangan tinggalkan solat dan banyakkan berdoa agar Allah bebaskan dia dari penderitaan hidup ini. Sememangnya begitulah ujian Allah swt. Kesempitan hidup seringkali banyak menjauhkan manusia dari Allah swt, padahal Allah menjanjikan ganjaran yang cukup besar bagi orang-orang yang bersabar menahan penderitaan.
Kami dibantu oleh seorang relawan wanita PKS Indonesia, baru berusia awal dua puluhan. Melalui syaksiah dan cara dia berinteraksi dengan kami, kami tahu pasti dia seorang remaja yang berada dalam suasana tarbiyah.. Dia bersama abangnya sibuk membantu penduduk kampung mendapatkan rawatan disamping menjadi penterjemah kepada kami. Apabila sampai waktu masuk solat zohor, dia berkata, “ Pak,,,minta ijin, saya mahu solat dulu….” Dia tahu kami akan melakukan solat jama’ & qasar. Dia cukup menjaga waktu solat. Bila ditanya mengenai program tarbiyah yang di lalui , dia kata dia hanyalah sorang “mutarabbi” (orang yang menerima dakwah) dan belum boleh jadi murabbiyah lagi. Terbisik juga didalam hati saya, dimarhalah awal tarbiyah pun mereka sudah biasa dengan “term” arab. Bagaimana dengan kita..???
Menurut Pak Ridwan di sekitar Pariaman ada kira-kira 500 orang mengikut halaqah mingguan. Mereka bersemangat tinggi, bangga dengan vest dan baju yang tertulis dengan organisasi mereka. Mereka berhibur melalui nasyid-nasyid yang membakar semangat dan mencipta nasyid-nasyid jihad yang segar dan bersemangat. Melihatkan mereka, saya terasa sungguh kerdil. Bagaimana keadaan kita disini..kekurangan sensitivity, semangat..orang yang sudah lama berada dalam tarbiyah pun masih mahu dimanjai, tidak mahu menggembleng tenaga untuk kerja dakwah bahkan sukar sekali untuk kita mencari orang-orang yang sanggup menjadi Full-time Da’e..
Di Pariaman kita bukan memikul senjata, bukan mendaki gunung, bukan tidur didalam hutan, bukan menggali mayat-mayat yang busuk…Kita cuma memberi perkhidmatan dan rawatan, sama seperti yang kita lakukan di Malaysia. Hanya yang ada sedikit kepenatan dan keletihan. Tiada sorang pun dikalangan team kami yang mengeluh kesal , tapi yang ada hanyalah senyum kepuasan. Sungguh kami terasa puas dapat menyumbang kepada ummah pilihan iaitu ummat kepada deen yang suci ini, iaitu Islam. Walaupun nilainya tidak seberapa. Memang benar, bila kita turun ke medan amal, kita akan terasa lebih izzah terhadap kerja-kerja islam dan terasa satu kerugian jika kita berlambat untuk melaksanakan kerja-kerja ini. Jika sekalipun kita tidak mahu melakukannya, orang lain akan tetap melakukannya..dan kita akan terus ketinggalan..
Betullah rasa hati seorang sahabat Rasululllah Amr ibnu Al Jamuh ;
Amr ibn Al Jamuh, seorang yang tempang, memiliki 4 anak remaja yang ikut berperang bersama Rasulullah.Amr mahu ikut berperang bersama Rasulullah.Anak-anaknya berkata “ Allah telah memberi kemudahan kepada bapa,Bapa boleh duduk dirumah saja, biar kami menggantikan bapa kerana Allah tidak mewajibkan Jihad keatas bapa “. Lalu Amr ibn Al Jamuh telah merayu kepada Rasulullah saw dan berkata, Wahai Rasulullah, anak-anak saya telah menghalang saya untuk berperang bersama anda.Demi Allah saya sangat berharap hendak mati syahid agar saya dapat berjalan dengan kaki tempang saya didalam syurga.” Lalu Rasulullah saw telah bersabda kepadanya “Adapun engkau maka Allah tidak mewajibkan jihad keatas engkau” Kemudian Rasulullah sw telah bersabda kepada anak-anaknya”Apakah salahnya kamu berdoa semoga Allah mengurniakan mati syahid kepada ayahmu?. Kemudian Amr Al Jamuh keluar bersama Rasulullah lalu dia gugur syahid pada hari perperangan uhud.
Allahu Akhbar….seorang sahabat yang telah pun uzur dan tempang kaki, terlalu sedih kerana tidak dapat mengikuti angkatan perang Rasulullah saw, sentiasa berikhtiar untuk pergi berjihad. Kita pula bagaimana? Adakah kita berusaha sungguh-sungguh untuk menyahut seruan jihad dan menyumbang tenaga ataukah kita masih berkira-kira untuk waktu dan tenaga yang akan kita bazirkan untuk suatu pekerjaan yang tiada gaji ini?...Semua ini hanyalah sekadar latihan, tadrib dalam bentuk realiti… Saya memohon ampun kepada Allah kalau catatan ini ada kesilapan.Ia hanyalah sebagai muhabah untuk diri kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang daie , InsyaAllah. Jika ada peluang masa, saya akan cuba sambung lagi.Wassalam..
Catatan Perjalanan,
Dr.Mohd Ariff B.Abd Rasyid
No comments:
Post a Comment