"Pilihlah isteriku, dan nikahilah."
Inilah ungkapan itsar seorang sahabat Ansar, Sa'ad bin Rabi' r.a. kepada pemuda Muhajirin Mekah, Abdul Rahman bin Auf r.a. selepas dipersaudarakan oleh Rasulullah di Madinah selepas hijrah. Berkata Sa'ad lagi,
"Wahai saudaraku, ini adalah harta kekayaan yang telah aku kumpulkan selama ini. Aku akan membahagikannya menjadi dua bahagian; untukmu dan untukku. Separuh dari rumah ini juga milikmu. Aku juga mempunyai dua orang isteri. Aku akan membawanya kepadamu, dan terserah lah kepadamu untuk memilih sesiapa antara mereka yang kamu sukai. Aku akan menceraikannya, hingga setelah selesai masa iddahnya, engkau bisa menikahinya,"
Sesungguhnya itsar adalah akhlak khusus orang-orang beriman; akhlak orang-orang yang mahu membeli syurga. Itsar ertinya mengutamakan kehendak saudara Muslim melebihi kehendak dirinya sendiri, setinggi-tinggi darjat dalam ukhuwwah. Bahkan, jika menelusuri sirah, istar bukan lagi mengutamakan kehendak sahabat, tetapi mengutamakan keperluan sahabat melebihi keperluan diri sendiri, sehingga harga bayarnya ialah nyawa. Seperti kisah Ikrimah bin Abu Jahal dalam perang Yarmuk. Pada saat titisan air minuman menghampiri bibirnya, dia terdengar rintihan sahabat meminta air. Disegerakan kehendak sahabat, meminta air diberikan kepada sang sahabat yang juga merintih sepertinya. Hingga akhirnya beliau syahid tanpa sempat meminum air.
Itsar ini, perumpamaannya ialah kita sangat ingin memiliki sesuatu, atau sangat memerlukan sesuatu, namun selepas Allah melapangkan urusan tersebut untuk kita, tiba-tiba datang seorang sahabat yang juga memerlukannya. Lalu, dengan hati yang basah iman kita pun memberikan nikmat tadi kepada sahabat tersebut. Seperti itulah itsar, seperti tidak memiliki nikmat duniawi yang dihajati kerana telah memberinya kepada orang lain. Subhanallah...
"Matikan lampu, sibukkan anak-anak,"
Seorang lelaki datang menghampiri Rasulullah s.a.w. dan berkata, "Wahai Rasulullah, aku sangat lapar, dan sangat memerlukan makanan," Lalu Rasulullah bertanya kepada beberapa isteri baginda s.a.w. "Apakah kalian mempunyai makanan?" Namun jawab para isterinya, "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kami hanya mempunyai air,"
Maka, Rasulullah s.a.w. berdiri di tengah-tengah para sahabat baginda dan berkata, "Siapakah di antara kalian yang bersedia menerima orang ini sebagai tetamunya?" Seorang sahabat ansar bangun, dan berkata, "Wahai Rasulullah, aku akan menerimanya sebagai tetamu,"
Sahabat Ansar tersebut pun membawa tetamunya ke rumah. Di rumahnya, berkatalah sang isteri sahabat tersebut, "Yang ada hanya cukup untuk persediaan anak-anak kita saja,"
Sahabat yang mulia ini dengan lembut menjawab kata-kata isterinya, "Sibukkan lah mereka dengan sesuatu. Jika mereka menginginkan makan malam, ajaklah mereka tidur hingga tetamu kita datang. Kalau sudah datang, letakkanlah makanan itu dan padamkanlah lampu, supaya dia beranggapan bahawa kita ikut makan bersamanya. Supaya dia mahu makan, letakkanah makanan itu di hadapannya,"
Akhirnya tetamu itu pun duduk makan. Dan dia memang menyangka tuan rumah yang meraikannya juga sedang makan bersamanya. Ketika subuh datang, sahabat yang mulia ini di sambut Rasulullah s.a.w. di masjid dengan ucapan, "Sesungguhnya Allah sangat takjub terhadap apa yang kalian berdua lakuan pada malam tadi."
Peristiwa ini persis sebuah drama, namun ia merupakan kisah nyata keimanan para sahabat. Bagaimana dengan diri kita? Bukankah keadaan kita jauh lebih baik dari keluarga sahabat Rasulullah s.a.w. tadi ketika Islam memerlukan sedekah kita?
"Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang mereka berikan kepada mereka (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itu lah orang-orang yang beruntung." [Al-Hasyr: 9]
Orang-orang Muhajirin hanya memiliki sehelai pakaian yang melekat pada tubuh mereka, padahal mereka dahulu adalah orang-orang kaya di Mekah. Kaum Muhajirin adalah golongan pedagang dan peniaga, sedangkan kaum Ansar terdiri dari para petani sahaja. Kaum Ansar bukan orang-orang kaya seperti kaum Muhajirin ketika di Mekah. Apa yang kaum Ansar miliki adalah hasil titik peluh mengutip hasil bumi di tanah Madinah dan sekitarnya. Namun, sikap itsar yang dipemerkan oleh kaum Ansar sangat luar biasa. Ketika Rasulullah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, proses pemilihan hanya lah melalui undian. Jika ditanya, "Si Fulan ini saudara siapa?" Maka semua orang-orang Ansar akan berkata, "Saudaraku ya Rasulullah!"
Hari ini solat selalu kurang khusyuk. Ibadah kurang mengesani hati. Haji dan umrah menjadi ibadah tahunan. Namun, kemanisan ibadah masih belum bisa diraih. Kita telah berhempas pulas untuk meraih khusyuk dalam ibadah-ibadah harian. Namun, masih belum berjaya memasuki horizon yang penuh keasyikan itu. Fikiran masih bermain-main dengan angan-angan kehidupan sejurus takbiratul ihram diangkat. Mengapa?
Saudaraku, mari lah kita perhatikan, bagaimana generasi awal meraih khusyu' disaat perut mereka lapar, disaat anak-anak mereka di rumah memakai baju yang lusuh, dan isteri-isteri mereka menguli roti sehingga luka jemari-jemari mereka, seperti saidatina Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. dan Asma' puteri Abu Bakr. Tetapi, mereka adalah generasi yang khusyuk, yang menikmati setiap ibadah yang dilaksanakan. Hari ini kita kekenyangan, berehat di dalam rumah yang nyaman, tidur di atas tilam yang selesa, mempunyai pekerjaan yang baik, anak-anak yang cemerlang dan sihat. Tetapi tidak. Hati kita sangat sukar meraih khusyuk. Mengapa hai saudaraku?
"Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui." [Ali Imran: 92]
Berinfaqlah! Istar lah! Itulah jawapannya. Buat hati yang masih terlalu keras, setelah menjauhi segala maksiat, meraih rezeki yang halal, dan melakukan segala perintahNya yang wajib, tetapi hati masih kering dan mencintai dunia. Di atas setiap dosa yang dilakukan dalam satu hari, bersedekahlah. Jika tidak mampu bersedekah, maka itsar lah, seperti itsarnya para sahabat Rasullah. Istar menumbuhkan rasa nikmat beriman kepada Allah. Ia melatih diri meletakkan redha Allah melebihi redha yang selainNya. Kerana mengejar redhaNya, kita memberikan rezeki yang dicintai kepada orang lain, memberikan peluang yang ditunggu-tunggu selama ini kepada orang lain, memberikan kenikmatan yang sedang dinikmati kepada saudara seiman. Inilah tujuan istar dan tujuan sedekah. Iaitu mengutamakan redha Allah melebihi keinginan nafsu.
Rasulullah s.a.w. bersabda ketika baginda bertemu dengan Asma' binti Abu Bakr,
"Berifaqlah dan janganlah kamu menghitung-hitung hartamu, kerana Allah juga akan menghitung-hitung rezekiNya untukmu, dan janganlah engkau bakhil dengan hartamu, kerana Allah juga akan bakhil kepadamu," [ HR Bukhari]
Oleh itu, berinfaqlah dan jangan merasa sayang terhadap harta yang dimiliki, kerana Allah juga akan menghitung-hitung rezekiNya untuk kita. Renunglah firman Allah,
"Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir). Sedangkan Allah menjanjikan untukmu ampunan dariNya dan kurnia. Dan Maha Luas (KurniaNya) lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 268]
Syaitan selalu menakutkan-nakutkan manusia dengan kemiskinan dan kefakiran. Ketika kita mahu menginfaqkan sebahagian rezeki, syaitan akan membuka gambaran tentang keperluan-keperluan kita yang belum dipenuhi. Demikianlah syaitan menghalang tangan-tangan manusia dari bersedekah, berinfaq dan mengutamakan keperluan orang lain. Laknatullah sentiasa berusaha membisikkan dunia agar kita beralasan untuk memberi demi keperluan harian dan masa depan, dan seterusnya. Syaitan sentiasa mempengaruhi jiwa manusia dengan keraguan hingga terhalang keinginan untuk berinfaq.
"Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yg telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian pada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan kematianku sampai waktu yang dekat, yg menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh." [Al-Munafiqun:10]
Menurut para ulama, ayat ini menafsirkan bahawa perkara yang paling dikesali ketika kematian menjemput anak Adam ialah hartanya yang belum disedekahkan, seperti yang Allah gambarkan dalam ayat tersebut. Kerana hidupnya telah dia habiskan mencari harta atau rezeki, namun dia akan meninggalkan semuanya pada anak-anak. Hingga di saat maut menjemput, dia akan berkata, "Mengapakah aku harus meninggalkan hartaku?"
Itsar dan bersedekah adalah dua perkara yang sangat akrab hubungannya. Barangsiapa yang mencintai dirinya, dia akan mencintai hartanya. Tetapi barangsiapa yang mencintai Islam dan Allah, dia akan mencintai saudaranya melebihi cintanya kepada diri sendiri. Oleh itu, antara jalan meraih cinta Allah ialah mencintai sahabat. Untuk mencintai sahabat, jiwa harus memiliki sebuah akhlak, iaitu kepekaan perasaan. Ia adalah perasaan yang indah dan dalam terhadap orang lain, yang lahir dari jiwa yang jernih, sehingga dapat memahami hajat yang terpendam dalam jiwa sahabat, tanpa sahabat tersebut mengungkapkannya. Dalam konteks umat Islam tanpa daulah hari ini, kita harus merasai keperitan saudara-saudara di Palestin, Myanmar, Somalia, dan seluruh dunia. Hari ini dakwah memerlukan harta kita. Oleh itu, berniagalah dengan Allah menggunakan modal harta yang kita miliki. Kerana balasannya adalah keredhaanNya, kejernihan hati, kerinduan pada akhirat dan syurgaNya.
Akhir kalam, marilah merasai nikmat di atas senyuman orang lain..kerana pemberian yang bukan lebihan dari rezeki Ilahi, tetapi dari sesuatu yang kita cintai. Sebagaimana para Ansar merasai manisnya memberikan isteri yang dicinta kepada sahabat Muhajirin. Seperti Ikrimah merasai dua kemanisan; kemanisan itsar dan kemanisan syahid ketika ajal menjemputnya pergi. Maha Suci Allah! Inilah rahsia kekhusyukan mereka, rahsia iman yang berkobar-kobar, dan terus berkobar...
sama2 kita amalkan itsar dalam kehidupan kita, utamakan orang lain daripada diri kita sendiri..
moga Allah bagi kekuatan untuk amalkan dalam kehidupan ini..