Bismilahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt...
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, tuhan sekalian alam...
Alhamdulillah, hari ini Allah izinkan saya melayari internet setelah beberapa hari tidak di izinkan..
insyaAllah di kesempatan masa yang singkat, saya sempat membaca beberapa post berkaitan ramadhan yang mulia. bulan yang sedang kita lalui sekarang, yang mana setiap detik ramadhan sedang meniggalkan kita..ya Allah, semoga kami dapat menggunakan ramadhan kali ini sebaik mungkin..ameen..
post yang saya ingin kongsikan ini adalah daripada pemuda harapan islam, hilal asyraf. Sepanjang Ramadhan yang mulia ini, pemuda ini menyediakan beberapa edisi post khas untuk ramadhan..insyaAllah kepada teman-teman boleh lah kesana..
semoga bermanfaat..insyaAllah..
edisi Ramadhan 4: Apa yang telah kamu lakukan?
Ramadhan sudah mula masuk ke belasan.
Rasa sekejap waktu berpapasan.
Atas kepantasan waktu ini saya teringat akan satu ucapan. Ucapan Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari, pakar bidang Hadith di Yarmouk yang menjadi khatib pada hari ke-7 Ramadhan tahun lepas.
Saya masih ingat bagaimana bulu roma saya menegak ketika itu memikirkan ucapannya.
Seakan-akan bicaranya adalah jarum-jarum yang ditembak menusuk jiwa.
“7 hari telah berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamba Allah, apakah yang telah kamu buat dalam Ramadhan ini?”
Apakah yang telah kamu lakukan dengan harta?
Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari menyeru lagi ketika itu:
“Allah telah memberikan kamu harta. Harta kamu adalah milik Allah SWT. Bukan kepunyaan kamu, bukan kepunyaan bapa kamu atau datuk kamu. Maka wahai hamba Allah, apakah yang kamu telah lakukan terhadap harta kamu dalam Ramadhan kamu ini?”
Apakah yang telah kita lakukan dengannya?
Biasanya kesenangan membuatkan kita lupa. Wang hanya kita lihat sebagai untuk menyeronokkan diri kita sahaja. Menyedekahkannya kelihatan satu kerugian, memberikannya kepada yang memerlukan dilihat seakan satu kekurangan.
Sedang bulan Ramadhan yang mulia ini Allah janjikan pelbagai ganjaran bagi mereka yang beramal. Dan salah satu amal yang boleh diusahakan adalah sedekah.
Apakah kita telah bersedekah sepanjang 11 hari yang telah berlalu ini?
Apakah yang telah kamu lakukan terhadap makanan?
Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari menyeru lagi ketika itu:
“Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu makanan. Kamu makan. Tapi adakah kamu berkongsikan makanan kamu itu dengan orang lain? Apakah yang telah kamu lakukan dengan makanan kamu pada bulan ini?”
Sepanjang dua tahun saya belajar di Jordan, saya tidak pernah dapat menikmati bazar Ramadhan. Terbiasa dengan keadaan itu, Ramadhan di Malaysia kali ini, tidak pernah sekali saya menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan. Bukan kerana membenci, tetapi takut saya zalim terhadap makanan dan terkeluar pula saya daripada tujuan sebenar Ramadhan.
Kita beli itu ini, berdasarkan kelaparan yang menguji, tetapi tidak habis makanan-makanan yang kita beli. Atau jika habis pun, makanan-makanan itu tidak menjana kekuatan untuk bangkit berdiri solat beramal ibadat. Bahkan melemahkan.
Jangan cerita berkenaan memberikannya kepada orang lain.
Jauh sekali.
Apa yang telah kita lakukan terhadap makanan-makanan kita di bulan Ramadhan ini?
Apakah yang telah kamu lakukan terhadap masa?
Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari berkata lagi:
“Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu masa, dan masa itu sentiasa berlalu. Apakah yang telah kamu lakukan dengan masa kamu dalam bulan ini?”
Kita kelaparan, keletihan, dan merasakan kita sudah mati akal hendak melakukan apa lagi. Lantas kita memilih untuk menghabiskan masa dengan tidur. Lebih teruk lagi, ada kalangan kita mengisi masa dengan bermaksiat walaupun di tengah Ramadhan.
Masa habis dengan bersembang, masa habis di hadapan permainan komputer/video, masa habis menonton drama dan movie, dan begitulah masa-masa berlalu.
Sedangkan Ramadhan ini rahmat Allah mencurah-curah setiap saat.
Apakah yang telah kita lakukan terhadap masa kita di bulan Ramadhan ini sepanjang 11 hari ini?
Apakah kita mengisinya dengan baik?
Apakah yang telah kamu lakukan dengan amal ibadat?
Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari berkata lagi:
“Wahai hamba Allah, Allah telah memfardhukan kamu solat, maka apakah yang telah kamu lakukan terhadap solat-solat fardhu kamu? Ketahuilah bahawa Tarawih itu sunnah, sedang Isya’ dan Fajar itu adalah wajib. Apakah pantas untuk kamu mendirikan tarawih tetapi melewatkan isya’ dan mengakhirkan fajar? Ketahuilah bahawa Isya’ dan Fajr itu datang dahulu sebelum tarawih”
Kadangkala, ada sebahagian kita terlalu teruja melaksanakan ibadah sunat di bulan Ramadhan hingga mengenepikan kualiti ibadah fardhu. Kita tersilap kerana memandang Ramadhan sebagai adat. Sebagaimana orang yang berhenti merokok di waktu siang tetapi merokok pula di waktu malam. Sedang rokok adalah haram 24 jam.
Kita nampak, kalau tak tarawih, maka sama macam tak puasa. Sedangkan kalau meninggalkan solat fardhu dengan sengaja, kita merasa tidak mengapa.
Inilah dia celupan yang silap dan kefahaman yang bengkok.
13 hari telah berlalu, apakah kita menjaga dan mempercantikkan amalan kita?
Apakah yang telah kamu lakukan terhadap Al-Quran?
Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari menyeru lagi:
“Ramadhan adalah bulan Al-Quran wahai hamba Allah. Wahai hamba Allah, maka apakah yang telah kamu lakukan kepada kitab RABB kamu ini? Adakah kamu mempercantikkan bacaan kamu? Adakah kamu menghayati isinya dalam kehidupan kamu?”
Bagaimana 11 hari yang lepas ini? Bagaimana kita melayan Al-Quran? Adakah sekadar berusaha mengkhatamkannya, tetapi tidak memperdulikan tajwidnya?
Sedang menghabiskan bacaan 30 juzu’ Al-Quran di dalam bulan Ramadhan hanyalah sunat, manakala membacanya dengan bertajwid adalah wajib. Yang manakah kita dahulukan?
Persoalan yang lebih menarik, apakah kita menyentuh Al-Quran sepanjang Ramadhan ini telah berjalan? Atau kita langsung tidak pernah membacanya?
Adakah kita sekadar hendak membacanya hingga habis, tetapi tidak mahu mengambil pengajaran darinya walau secebis?
Perhatikan, perhatikan.
Apakah yang telah kita lakukan terhadap Al-Quran?
Penutup: Apakah kita bermuhasabah untuk melayani Ramadhan kita?
Semasa saya mendengar khutbah ini tahun lepas, saya pantas menulis satu artikel berkenaan dengannya. Semalam, saya terbaca artikel itu semula. Saya rasa sayu dan terharu. Saya masih teringat bertapa bulu roma saya tertegak ketika Sheikh Muhammad Audeh Al-Hawari membacakan khutbahnya itu.
MasyaAllah.
Bagaimanakah kita melayan Ramadhan?
Sambil lewa?
Jika benar teliti, maka kita akan bermuhasabah akannya. Melihat kembali layanan kita kepadanya. Dan berusaha agar esok lebih baik daripada hari ini.
“7 hari telah berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamba Allah, apakah yang telah kamu buat dalam Ramadhan ini?”
Aaaah… masih tergiang-giang.
Moga Allah membenarkan kita melayani Ramadhan sebaiknya.
habis baca artikel ini, buat saya risau. adakah saya sudah
gunakan madrasah ramadhan kali ini dengan baik.
jika sudah di isi, adakah Allah akan terima?
mari kita sama-sama muhasabah amalan kita...
mudah-mudahan ramadhan yang berbaki dapat kita tingkatkan lg..
insyaAllah..
No comments:
Post a Comment