Laporan Dr Asmarawati Md Yatim
Pakar Anaesthesiology
Doktor HALUAN di Gaza
GAZA - Letupan bom kali kedua pada hari Selasa 0230hrs tiba-tiba memutuskan bekalan air di hospital kami bertugas. Kami yang sedang melakukan pembedahan di European Gaza Hospital cemas bukan kerana takut dibom tetapi bimbang dengan nasib pesakit-pesakit kami. Kami hanya mampu berdoa agar pembedahan dan rawatan mereka tidak terjejas. Hati kecil ini terdetik juga - manalah tahu, mungkin syahid saja di sini kerana jelas dentuman bom tadi terdengar macam dekat sekali.
Suasana di Gaza masih di hujung tanduk. Setiap anak jati Palestin di Gaza seolah-olah pasrah dengan dengan takdir yang menimpa mereka tetapi tetap teguh dengan komitmen jihad mereka yang tinggi. Mereka sangat-sangat menyantuni para pekerja medikal yang mencurah tiba untuk membantu. Namun di sebalik keceriaan wajah mereka, terselit juga kesayuan nun di bola mata kerana mungkin saudara tersayang telahpun kembali kepada Penciptanya. Cara mengatasi kesedihan itu adalah dengan meneruskan jihad mempertahankan Deen dan watan mereka.
Ini bukan kali pertama saya di medan bencana. Bukan kali pertama saya melihat manusia meratap kerana kesedihan yang amat sangat setelah kehilangan orang yang disayangi, dan harta-benda dan rumah tangga yang punah ranap. Tetapi ketibaan saya buat kali pertama di Gaza ini menjadi kejutan yang amat sangat dek kemusnahan dahsyat yang tergamak dilakukan oleh sebuah negara berkuasa besar Israel ke atas sebuah semenanjung pipis bernama Gaza yang rakyatnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibarat gajah membunuh nyamuk. Bacul sungguh Yahudi rupanya.
Saya dan pasukan doktor daripada Mercy Malaysia berjaya membolosi sempadan Mesir-Israel setelah lebih 48 jam menantikan kebenaran pihak tentera sempadan Mesir yang amat mencemburui siapa yang bakal melintasi masuk ke daerah Gaza. Ribuan relawan daripada pelbagai negara telah menunggu. Kami mempunyai segala dokumen yang lengkap berserta surat diplomatik tetapi itupun bukan jaminan bila kita berada di medan peperangan. Sesampai di Gaza, saya terus bersyukur ke hadrat Illahi kerana akhirnya tiba juga di medan amal yang saya impi-impikan selama ini. Saya terus ditempatkan di Shahid Najar Hospital di mana kami melakukan kerja-kerja rawatan kepada pesakit dan menjalankan pembedahan. Terdapat ramai doktor di situ - Arab, Eropah dan Asia.
Keadaan di Gaza amat tegang walaupun tentera Israel sudahpun berundur sepenuhnya. Hamas mahu semua sempadannya dengan Israel dan Mesir dibuka sepenuhnya agar bantuan kemanusiaan dapat masuk tetapi tidak mahu mengiktiraf rejim zionis itu. Ini membuakkan kemarahan kaum penjajah Yahudi itu. Kelmarin, dua rakyat Palestin ditembak mati dari jarak jauh oleh sniper Yahudi. Penduduk Gaza, walaupun hidup di bawah tekanan dan dalam keadaan ketakutan, tetap tabah menghadapi dugaan harian sebegini. Inilah yang mengkagumkan saya. Dalam bahasa Inggeris, saya “extremely amazed” dengan ketabahan mereka bertahan sebegini bertahun lamanya.
Saya bersyukur kerana masih ada bekalan air dan elektrik yang mengalir di sesetengah zon operasi menyelamat kami. Tidak dinafikan bahawa bekalan perubatan ada yang terputus ataupun terhad. Begitu juga dengan peralatan bantuan perubatan. Namun ianya tidaklah begitu serius. Ada yang musnah dan ada yang rosak tidak berganti. Namun para doktor Palestin di sini tidak pernah mengeluh malah riak wajah mereka bagaikan meraikan kedatangan kami, doktor-doktor Muslim lain, ke jazirah tanah tumpah darah mereka.
Salam saya kepada semua sahabat dan rakan di Malaysia. Doakan Gaza dan rakyatnya agar dimenangkan Allah SWT dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment