Sunday, October 16, 2011

Kemantapan iman mendewasakan usia

dah besar adik-adiku, semoga iman menjadi hiasan ye...

insyaAllah hajat nya nak share satu post,
ditujukan khas buat adik-adikku yang dikasihi, nur atiyah dan nur syofiyah..semoga meningkat dewasa dengan iman dan taqwa,insyaAllah..sama-sama kita jadi anak solehah..

semoga bermanfaat juga buat teman-teman yang sentiasa singgah ke kolam ini =)...


oleh: ummu anas
Salam sejahtera serta keberkatan berterusan untuk puteri-puteri Islam sejati,
Yang dikasihi dengan kasih sayang Islam!Maha Suci Allah yang menjuruskan hati kita pada landasan iman dan Islam.

Puteri-puteri harapan...

Mari kita mulai dengan doa: 

“Ya Allah! Kami terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas juga dalam agama nabi kami Muhammad SAW. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu yang benar. Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagiMu. kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, kami mohon ampun dan bertaubat kepadaMu.”








Puteri-puteri Islam Sejati!
Halus jiwamu dan lembut hatimu Allah ciptakan bersesuaian untuk melakar corak-corak indah pada layar kehidupan. Indah lakaranmu akan terbinalah kebahagiaan hakiki. Sekiranya buruk corak yang engkau lakarkan, maka akan buruk jugalah warna kehidupan generasi mendatang.

Kalianlah harapan dan pewaris yang akan meneruskan segala kekuatan. Kelemahan akan membawa kepincangan yang merugikan. Justru itu sedarilah…seiring dengan usaha kalian membina kekuatan iman bersulamkan ketaqwaan, wujud pula penghasut paling bahaya! Iaitu syaitan yang tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam setiap hati. 
Ingatlah firman Allah dalam surah An-Nur ayat 30-31;
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang nampak daripadanya.”
Puteri-puteri Srikandi Iman,
Sedarilah Allah menjadikan mata sebagai cermin hati. Jika seseorang menahan matanya bererti dia menahan dan mengawal keinginan hatinya menurut kehendak Allah. Pandangan mata yang tidak terkawal kelak membuahkan perlakuan yang tidak menentu. Menahan pandangan mata itu bertujuan menjaga kehormatan diri. Bukan bermakna Allah melarang pandangan mata secara keseluruhan, tetapi kita diperintahkan untuk menahan sebahagian pandangan mata.
Pengaruh penglihatan sememangnya sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu, Rasulullah mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga terhadap mereka yang menutup aurat, apatah lagi yang mendedahkan aurat.
Telah berlaku di zaman RasulullahSAW, ketika Al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah daalm perjalanan dari Muzdalifah ke Mina. Di pertengahan jalan mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita-wanita itu. Lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadl dan memalingkannya ke a rah lain.
Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandanagn itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadl. 

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud; 
Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya dari zina. Dia tahu ayng demikian itu tanpa dimungkiri. Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu berupaya berzina, dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu berupaya berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu berupaya berzina, dan zinanya adalah tangkapan keras. Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu.” (HR Al-Bukhari, Muslim ,An-Nasa’I dan Abu Daud)
Rasulullah juga pernah bersabda kepada Saydina Ali;
Wahai Ali janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, Kerana yang pertama menjadi bahagian mu. Dan yang kedua bukan lagi bukan lagi menjadi bahagianmu.(dosa atasmu)” (HR Ahmad, At-Tirmidzi dan Abu Daud)
Puteri-puteriku yang sentiasa menjaga keteguhan iman,
Fahamilah tatacara serta batas pergaulan yang telah Allah syariatkan. Di satu segi umat Islam disuruh membina kemesraan, murah dengan senyuman, saling bersalaman dan bermaafkan. Serta lembut dalam tuturkata. Di satu sudut lain, syariat meletakkan batas pergaulan yang ketat antara lelaki  dan wanita bukan mukhrim. Misalnya senyum dan bertegur sapa tidak boleh berlebihan. Mestilah memakai pakaian yang sempurna dan menutup aurat. 
Demi memelihara maruah dan kehormatan wanita. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah Al-Ahzab;
“Yang demikian supaya mereka lebih mudah dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang.”

Puteri-puteri Islam Harapan!,
Dengan iman yang mantap akan mudah kalian mengawal diri dalam batas yang Allah perintahkan. Yakinlah, jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu  hati akan jadi tenang. Akan mudahlah melaksanakan ketaatan kepada Allah. Sebaliknya mata yang di biarkan itu akan mengotori jiwa dan merosak hati dan mendorong berlakunya perbuatan sumbang dan tercela. Serentak dengan itu juga akan terlihat kesan kepada kematangan usia. Tidaklah bertindak melulu mengikut desakan nafsu. Yang juga menjejaskan hubungan harmoni dan sejahtera dalam kehidupan bermasyarakat.
Juga berhati-hatilah ketika melemparkan senyuman. Senyuman wanita kepada lelaki bukan muhrim…dikhuatiri menjadi pendorong kepada perlakuan sumbang. Jelingan dan kenyitan mata mungkin saja akan membawa kepada tindakan berani berdua-duaan samaada di khalayak ramai juga tersembunyi.
Dengan iman yang mantap juga, akan terhindarlah perlakuan yang mendorong dan menjerumuskan orang lain berbuat dosa. 
Tepati maksud firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 2; 
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan janganlah tolong-menolong  dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaNya.”

Puteri-puteri Islam Sejati!
Waspadalah... tiada istilah ‘ringan-ringan’ dalam soal dosa. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.
Akhirnya renungi syair Arab ini;
Betapa buruk pemuda yang memiliki pekerti mengorbankan adab kerana nafsu sendiri.
 Kehinaan dituruti padahal diri mengetahui.
 Kehormatan tercemar dan kehinaan disenangi. 
 Wahai kedua mata, kau nikmati pandangan lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati. 
 Hatilah yang memaksakan kehendaknya kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta!”
Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang mendoakan ketaqwaan kalian.

***bertambah usia, bertambah juga ujian yang bakal Allah uji...pelbagai cabaran yang kita tak sangka boleh melemahkan iman kita..sentiasa berada dalam biah solehah,insyaAllah boleh menguatkan hati dengan melihat qudwah yang solehah disekeliling kita..tapi,kalau xde qudwah mcm mana ye?diri sendirilah perlu bina, mohon pertolongan dari Allah...

No comments: